Sejarah

Sejarah

 

SEJARAH AWAL PENUBUHAN

 

Nama IPGKRM pada asalnya ialah Day Training Center (DTC) atau Pusat Latihan Harian Seremban (PLHS). Ia ditubuhkan pada Jun 1957 untuk melatih guru sekolah rendah (3 unit pengambilan) dengan jumlah pensyarah seramai 8 orang. Pada waktu itu, PLHS menumpang bangunan Sekolah Rendah Tamil Java Lane, Seremban. Pada hujung tahun 1957, PLHS dipindahkan ke sebuah bangunan separa kekal dalam kawasan Sekolah Kebangsaan Sri Kelana, Jalan Channer (sekarang Jalan Siamang Gagap), Seremban.

Kemudahan di sini adalah lebih baik dan PLHS juga telah menambah satu lagi unit pengambilan untuk penghantar dalam Bahasa Inggeris dan bilangan kakitangan turut bertambah kepada 11 orang.  Pengelola yang pertama ialah En. A. Palasanthiran. Kursus perguruan di PLHS memakan masa selama tiga tahun untuk para lulusan LCE (Lower Certificate Education), tetapi mulai 1961, guru pelatih yang berkelulusan Sijil Sekolah (SC) berkursus selama dua tahun sahaja.

BERPINDAH KE JALAN SIKAMAT


Pada 3 Januari 1964, PLHS berpindah ke sebuah bangunan khas di kawasan seluas 7 ekar di Jalan Sikamat, Seremban. Kemudahan di sini lebih baik jika dibandingkan dengan yang terdahulu. PLHS dilengkapi dengan padang yang lebih luas, kantin, dewan, perpustakaan dan bilik kuliah. Pada masa ini PLHS mampu menampung 5 unit pengambilan dengan tenaga akademik menjadi 16 orang. Pada 17 Julai 1967, PLHS dirasmikan oleh En. Muhamad Khir Johari, Menteri Pendidikan Malaysia ketika itu.

Pada tahun 1968 PLHS ditutup sementara waktu. Para pelatih dipindahkan kebeberapa Maktab Harian yang lain. Masa terus beredar, perubahan pasti berlaku. Selepas ditutup selama 3 tahun 4 bulan, pada 23 April 1976, PLHS dibuka semula dengan pengambilan pelatih baru berjumlah 89 orang untuk mengikuti kursus bersepadu selama 2 tahun.

 

BERTUKAR NAMA KE MAKTAB PERGURUAN RAJA MELEWAR (MPRM)

Pada tahun 1974, nama PLHS ditukar menjadi Maktab Perguruan Raja Melewar (MPRM) sempena nama Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang pertama. Pada tahun 1975, guru pelatih MPRM berjumlah 281 orang yang terdiri dari 9 unit. Pada bulan Ogos tahun yang sama MPRM mula mengendalikan kursus untuk guru-guru sementara pada masa cuti penggal persekolahan.

Pada tahun 1976, sebuah bangunan baru yang lengkap dengan makmal sains dan bilik sains rumahtangga siap dibina. Bagaimanapun, bangunan-bangunan yang sedia ada masih tidak dapat menampung bilangan pelatih yang kian bertambah. Pada tahun 1984 satu kawasan dengan dua buah bangunan tambahan dan 10 bilik kuliah siap dibina. Mulai tahun 1981 Kursus Perguruan yang asalnya dua tahun dipanjangkan menjadi 3 tahun. Pada tahun 1985 pula kursus perguruan tiga tahun mengikut sistem semester bermula.

MPRM KE ERA BARU 

Seterusnya, pada penghujung dekad 1980-an berlaku perubahan besar pada landskap Maktab Perguruan Raja Melewar. Kementerian Pendidikan Malaysia meluluskan peruntukan  sebanyak 20 juta ringgit Malaysia bagi membina sebuah kampus baru seluas 24 hektar  bersebelahan kampus lama dan mula beroperasi pada 31 Januari 1990. Pembinaan kawasan yang baru ini telah meletakkan asas yang kukuh citra MPRM berasaskan unsur budaya Negeri Sembilan yang terkenal dengan Adat Perpatihnya.

Sekali lagi sejarah gemilang Maktab Perguruan Raja Melewar terukir. Pada 23 Julai 1991, kampus baru ini telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ja’afar ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus. Pada masa ini MPRM menawarkan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI), Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI-LPBS), Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK), Program Kursus Pengsiswazahan Guru (PKPG) dan pelbagai program LDP seperti Kursus 14 minggu, Sekolah Bestari, Bimbingan dan Kaunseling dan sebagainya.

PENGISYTIHARAN NAMA MAKTAB PERGURUAN RAJA MELEWAR KEPADA INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS RAJA MELEWAR (IPG KRM)

Apabila  seluruh maktab perguruan dinaiktaraf menjadi Institut Pendidikan Guru (IPG), pada 6 Mei 2006, Maktab Perguruan Raja Melewar telah ditukar nama sebagai Institut  Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar. IPG Kampus Raja Melewar  bertanggungjawab  menyediakan latihan keguruan untuk memenuhi keperluan tenaga pengajar dalam sektor pendidikan sekolah rendah di seluruh negara. IPG Kampus Raja Melewar diterajui oleh  Pengarah dan dibantu oleh  Timbalan Pengarah serta Ketua-ketua Jabatan  yang bertanggungjawab  sebagai penggubal dasar institut.


IPG KRM terdiri daripada :

  1. Unit Khidmat Pengurusan
  2. Unit Peperiksaan
  3. Unit Praktikum
  4. Unit LDP
  5. Unit Kokurikulum
  6. Unit Psikologi dan Kaunseling
  7. Unit Perpustakaan
  8. Jabatan Hal Ehwal Pelajar
  1. 10 Jabatan Akademik (Jabatan Ilmu Pendidikan, Jabatan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pengajian Melayu, Jabatan Matematik, Jabatan Sains, Jabatan Pengajian Islam dan Moral, Jabatan Sains Sosial, Jabatan Penyelidikan Inovasi dan Profesionalisme Keguruan dan Jabatan Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan).

Setiap jabatan dan unit diterajui oleh  seorang Ketua Jabatan dan Ketua Unit. Jabatan dan unit ini bertanggungjawab  membantu Pengarah dalam menjana kecemerlangan  IPG Kampus Raja Melewar. Ketika mula dibuka, IPG Kampus Raja Melewar  hanya menawarkan program  peringkat sijil, dan diploma sahaja. Mulai tahun 2006, kampus ini  mula mengorak langkah menawarkan program ijazah berkembar dengan Queensland Universiti of Technology, Australia dan Universiti Terbuka Malaysia. Pada tahun 2007 IPG Kampus Raja Melewar telah menawarkan  Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian  atau singkatannya (PISMP)  dengan pengambilan pertama seramai 104 orang pelajar.

Di samping  itu kampus ini juga menawarkan Kursus Dalam Perkhidmatan seperti  Kursus Pendek Kelolaan Institut bagi memastikan guru sentiasa berpengetahuan, berkemahiran dan berketrampilan selaras dengan perkembangan semasa. Bagi peningkatan profesionalisme staf dan pensyarah,IPG Kampus Raja Melewar juga  giat mengendalikan Latihan Perkembangan Staf  untuk pensyarah dan staf sokongan.

PRASARANA IPG KRM

 

Sebagai sebuah institusi yang berwawasan,  IPG Kampus Raja Melewar dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk asrama, surau, kafeteria, kemudahan pengajaran dan pembelajaran  seperti  bilik-bilik kuliah, dewan syarahan, makmal komputer, pusat sumber  serta kemudahan sukan,  seperti gimnasium,  padang  dan gelanggang permainan. Bagi memenuhi aspirasi negara  kampus ini telah diistiharkan sebagai  IPG Sukan  pada 2011 oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin bagi melahirkan modal insan guru yang cemerlang sebagai jurulatih dalam usaha melahirkan bakal-bakal atlit bertaraf dunia.

Sebagai institusi perguruan yang bakal melahirkan guru siswazah, IPG Kampus Raja Melewar sentiasa komited untuk memastikan program-program yang dilaksanakan sentiasa sesuai dengan keperluan sektor pendidikan dan berupaya untuk melahirkan bakal pendidik yang dapat memenuhi aspirasi Negara. Kini, IPG KRM semakin cemerlang dibawah kepimpinan Dr. Haji Nizam bin Abd. Latib. Beliau sentiasa segar dengan idea-idea mencabar dan terkini untuk  memotivasikan semua staf dan pelajar dibawah kepimpinannya supaya dapat mempertingkatkan tahap kecemerlangan perkhidmatan dengan penuh dedikasi dan berintegriti.

Hubungi Kami

Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Jalan Sikamat, 70400 Seremban, Negeri Sembilan.

  06 7654000
  06 7624822
    Hubungi Webmaster
    Peta Lokasi 
  Laman web rasmi IPGKRM boleh dilayari melalui telefon pintar anda.  

 

 

Hakcipta Terpelihara. Hakcipta @2018 Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar. Paparan terbaik menggunakan Mozilla Firefox Version 3+, Google Chrome atau Internet Explorer Version 9+

Menu